Perolehan koperasi cecah RM68.1 bilion, lepasi sasaran DAKOM2030

2025-06-19     IDOPRESS

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi,Datuk Ewon Benedick / Foto Bernama

PUTRAJAYA,19 Jun – Gerakan koperasi negara mencatat kejayaan membanggakan apabila merekodkan perolehan mencecah RM68.1 bilion bagi tahun 2024,sekali gus melepasi sasaran yang ditetapkan dalam Dasar Koperasi Malaysia 2030 (DAKOM2030).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi,Datuk Ewon Benedick berkata pencapaian itu membuktikan keupayaan sektor koperasi dalam menyumbang secara signifikan kepada kemakmuran ekonomi negara.

“Pencapaian ini selaras dengan objektif dan inisiatif DAKOM2030 yang memacu sektor koperasi sebagai pemangkin pembangunan sosioekonomi melalui pewujudan ekosistem yang holistik dan kondusif,” katanya ketika merasmikan Majlis Peluncuran Bulan Koperasi Kebangsaan (BKK) 2025,di sini hari ini.

Turut hadir,Ketua Setiausaha KUSKOP,Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud,dan Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM),Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal.

Program BKK 2025,anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bersama SKM,bertujuan mengiktiraf serta menyemarakkan semangat kerjasama dan kekuatan kolektif menerusi platform koperasi.

Sehingga Disember 2024,sebanyak 16,284 koperasi dengan keanggotaan melebihi 7.2 juta individu telah didaftarkan di seluruh negara.

Hasil penglibatan koperasi dalam pelbagai sektor ekonomi turut menyumbang kepada pengumpulan modal syer dan yuran sebanyak RM18.3 bilion,serta penjanaan aset keseluruhan bernilai RM173.3 bilion.

Dalam usaha memperkukuh daya saing sektor koperasi,Ewon memaklumkan bahawa KUSKOP dan SKM kini sedang dalam proses menggubal akta koperasi baharu bagi menggantikan Akta Koperasi 1993 [Akta 502].

“Akta baharu ini akan meliberalisasi perundangan,memperkasa SKM sebagai badan pengawalseliaan,serta mewujudkan ekosistem koperasi yang lebih responsif,dinamik dan telus,” jelas beliau.

Ewon turut menyuarakan keyakinan bahawa inisiatif tersebut mampu membantu koperasi tempatan menjadi lebih berdaya saing dalam aktiviti perniagaan serta memberikan pulangan terbaik kepada anggotanya.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.