07-04
MDEC perluas pasaran digital Malaysia ke Indonesia, jana potensi eksport RM450 juta
2025-07-04
IDOPRESS
Foto FB Malaysia Digital Economy Corporation
JAKARTA,3 Julai – Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) terus memperkukuh ekonomi digital negara di peringkat serantau menerusi DEX CONNEX Indonesia.
Program berjaya membuka potensi eksport digital lebih RM450 juta bagi 83 syarikat teknologi negara ke pasaran Indonesia.
26 Memorandum Persefahaman (MoU) turut dimeterai antara syarikat Malaysia dan Indonesia dalam pelbagai sektor antaranya keselamatan siber,kecerdasan buatan (AI),platform digital dan pembangunan bakat.
Ketua Pegawai Eksekutif MDEC,Anuar Fariz Fadzil menerusi kenyataan menyifatkan,Indonesia sebagai rakan penting dalam aspirasi digital Malaysia.
“Melalui DEX CONNEX,kami memacu kerjasama rentas sempadan demi membina jambatan digital kukuh antara dua ekosistem yang pesat membangun,” katanya.
Program mendapat sokongan Kedutaan Malaysia di Jakarta,Kementerian Pelaburan,Perdagangan dan Industri (MITI),Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE),Kementerian Komunikasi dan Hal Ehwal Digital Indonesia (KOMDIGI),serta rakan kongsi strategik kedua-dua negara.
DEX CONNEX merupakan inisiatif utama bawah program GAIN (Gateway,Amplify,Invest and Nurture).
Ia bertujuan memperluas capaian syarikat teknologi Malaysia ke pasaran global.
Sejak 2017 hingga 2023,GAIN telah menjana hasil sebanyak RM31.9 bilion,termasuk lebih RM11.2 bilion dalam eksport.