Pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat, FOI & penubuhan Ombudsman fasa akhir penelitian

2025-07-16     HaiPress

Datuk Seri Azalina Othman Said

PUTRAJAYA,15 Julai – Kerajaan kini dalam fasa akhir meneliti dan memuktamadkan draf cadangan pindaan beberapa undang-undang utama berkaitan integriti dan tadbir urus,termasuk Akta Perlindungan Pemberi Maklumat (Whistleblower Act),Akta Kebebasan Maklumat (FOI),serta penubuhan institusi Ombudsman.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi),Datuk Seri Azalina Othman Said,kertas cadangan berkaitan telah siap dan sedang dalam proses penyelarasan terakhir hasil sesi libat urus bersama pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO),organisasi masyarakat sivil (CSO),dan parti-parti politik,sebelum dibawa ke Jemaah Menteri untuk mendapatkan persetujuan dasar.

"Kami sedang membuat penyesuaian pada beberapa perkara,kami berharap dapat membentangkannya kepada Jemaah Menteri untuk mendapatkan persetujuan dasar.

"Peguam Negara telah memaklumkan bahawa akan ada penstrukturan semula yang diperlukan,dan ia melibatkan aspek pembiayaan – jadi kami sedang meneliti perkara itu juga," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Persidangan Antarabangsa Mengenai Tadbir Urus dan Integriti 2025 bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini hari ini.

Beliau turut menjelaskan bahawa pelaksanaan akta-akta itu perlu bergerak selari,memandangkan peranan Ombudsman yang bakal menggantikan fungsi Biro Pengaduan Awam (BPA) memerlukan asas kukuh dari segi perundangan dan institusi.

"Kita akan mulakan dengan pindaan kepada Whistleblower Act,kemudian selaraskan dengan cadangan penubuhan Ombudsman dan FOI. Diharapkan ia dapat diselesaikan semua tahun ini,insya-Allah," katanya lagi.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.