07-25
Selangor teruskan pengurusan tempat letak kereta secara konsesi
2025-07-16
IDOPRESS
Exco Kerajaan Tempatan Selangor Datuk Ng Suee Lim
SHAH ALAM,15 Julai -Berdasarkan keputusan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,Selangor bersetuju secara dasar melaksanakan pengurusan tempat letak kereta melalui kaedah kerjasama antara Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dengan syarikat swasta.
Menurut Exco Kerajaan Tempatan Selangor Datuk Ng Suee Lim,syarikat konsesi terlibat akan melabur RM200 juta dalam pembangunan infrastruktur tempat letak kereta termasuk pemasangan 1,800 unit kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan parkir utama empat PBT terlibat pada fasa pertama.
Meskipun melibatkan pihak swasta,kuasa dan kawal selia sistem itu kekal bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Model pelaksanaan ini melibatkan kerjasama tiga pihak iaitu PBT sebagai badan yang menetapkan dasar,kadar bayaran dan kawasan parkir,Rantaian Mesra Sdn Bhd sebagai penyelaras sistem dan pelaporan teknikal dan syarikat konsesi swasta sebagai operator pengurusan dan pengorperasian sistem tempat letak kereta di lapangan.
"Pelaksanaan ini akan dimeterai melalui satu perjanjian tripartite antara PBT,Rantaian Mesra Sdn Bhd dan syarikat konsesi bagi memastikan peranan skop dan tanggungjawab setiap pihak jelas serta mematuhi tadbir urus yang ditetapkan,"katanya dalam sidang media khas berhubung persoalan dan kebimbangan yang dibangkitkan pelbagai pihak berkenaan pelaksanaan sistem kutipan dan penguatkuasaan tempat letak kereta secara konsesi di empat PBT,di sini.
PBT itu melibatkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya,Majlis Bandaraya Subang Jaya,Majlis Bandaraya Shah Alam dan Majlis Perbandaran Selayang.
Tambah beliau,konsesi tersebut juga dijangka meningkatkan kecekapan operasi dan kutipan hasil tanpa menambah beban kewangan kepada PBT.
Perjanjian rasmi antara ketiga-tiga pihak dijangka ditandatangani 1 Ogos ini dengan jaminan pemantauan langsung daripada kerajaan negeri bagi memastikan ketelusan serta keberkesanan pelaksanaan.
Katanya,pemasangan CCTV tambahan bukan untuk memantau tempat letak kereta dan mengesan pengguna yang gagal membuat bayaran tetapi membantu polis dalam aspek keselamatan bandar melalui perkongsian maklumat dan data secara langsung.
Menurut Datuk Ng Suee Lim lagi,pelaksanaan pengurusan tempat letak kereta secara konsesi di Selangor bukan perkara baharu,malah ia telahpun digunakan sejak 1996.
Katanya,ketika ini lima PBT masih melaksanakan sistem pengurusan tempat letak kereta melalui konsesi.