4,409 kes kemalangan di tempat kerja dari Januari-Mei 2025

2025-07-17     HaiPress

Foto hiasan

TAIPING,16 Julai -Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) merekodkan sebanyak 4,409 kes kemalangan di tempat kerja di seluruh negara bagi tempoh dari Januari hingga Mei tahun ini,kata Ketua Pengarahnya Mohd Hatta Zakaria.

Beliau berkata sektor pengilangan mencatat kes tertinggi dengan 2,320 kes diikuti sektor pertanian,perhutanan dan perikanan (510),kewangan,insurans dan hartanah (481),pengangkutan,penyimpanan dan komunikasi (280),hotel dan restoran (219),kemudahan elektrik (181),perkhidmatan awam (177),pembinaan (64) serta perlombongan (23).

"Sebanyak 94 kes melibatkan kemalangan maut daripada keseluruhan kes yang direkodkan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Minggu OSH) dan Road to 150 Years of OSH Peringkat Kebangsaan 2025 di sini hari ini.

Mohd Hatta berkata Selangor merupakan negeri tertinggi merekodkan kes kemalangan di tempat kerja dengan 975 kes,diikuti Johor (810),Perak (422),Pulau Pinang (377),Pahang (255),Negeri Sembilan (247),Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (247),Sarawak (242),Sabah (206),Kedah (205),Melaka (204),Kelantan (112),Terengganu (88),Labuan (13) serta Perlis (enam).

Sementara itu,beliau berkata lebih 200 individu menyertai Minggu OSH 2025 yang dianjurkan bertujuan memupuk budaya kerja selamat serta meningkatkan kesedaran keselamatan di tempat kerja.

Mohd Hatta berkata program bertemakan Merevolusikan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan: Peranan Kecerdasan Buatan (AI) dan Pendigitalan di Tempat Kerja itu dianjurkan dengan kerjasama Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Tema Minggu OSH 2025 ini selaras dengan landskap dunia pekerjaan moden yang semakin dipacu teknologi seperti automasi,peralatan pintar,pemantauan masa nyata,serta penggunaan data analitik dan sistem algoritma,” katanya.

Dalam pada itu,beliau berkata sebanyak 350,000 penyertaan disasarkan melalui pelaksanaan Ikrar Integriti Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan yang bermatlamat menyemarakkan budaya kerja selamat dan sihat serta meningkatkan kesedaran dan komitmen berterusan terhadap pematuhan aspek OSH di semua peringkat. - BERNAMA

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.