08-12
STR Fasa 3 pacu perbelanjaan rakyat, bantu kekuatan ekonomi negara
2025-08-12
HaiPress
Foto Fail
KUALA LUMPUR,12 Ogos – Pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 3 yang disalurkan bermula hari ini dijangka memberi lonjakan kepada perbelanjaan isi rumah,sekali gus meminimumkan kesan kelembapan ekonomi global.
Penganalisis Ekonomi Dr Afzanizam Abdul Rashid berkata,perbelanjaan isi rumah mewakili sekitar 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan suntikan tunai ini akan merancakkan aktiviti ekonomi negara pada separuh kedua tahun ini.
“Sumbangan Tunai Rahmah ini dijangka memberi lonjakan kepada perbelanjaan pengguna.
Sudah pasti ia akan menjadi pemangkin yang dapat meminimumkan kesan kelembapan ekonomi global pada suku ketiga dan keempat,” katanya.
Sementara itu,Exco Persatuan Ekonomi Keluarga dan Pengguna Malaysia (MACFEA) Profesor Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali berkata,STR memberi kelegaan yang sangat bermakna kepada rakyat,namun perbelanjaan perlu diurus secara berhemah.
“Tunai yang diberikan perlu didahulukan untuk memenuhi keperluan asas sebelum beralih kepada kehendak atau barangan mewah,” katanya.
Beliau turut menggalakkan rakyat menggunakan peluang ini untuk meningkatkan pendapatan demi membina ketahanan ekonomi jangka panjang.