Badal Haji : Semak kesahihan tawaran, elak diperdaya

2025-08-12     HaiPress

Foto FB Tabung Haji

KUALA LUMPUR,12 Ogos - Umat Islam diingatkan menyemak terlebih dahulu kesahihan tawaran perkhidmatan upah haji atau badal haji yang diiklankan agensi pelancongan atau individu bagi mengelakkan daripada diperdaya.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji,(TH),Mustakim Mohamad berkata setiap kali permulaan operasi ibadah haji,terdapat segelintir pihak mengambil kesempatan mempromosikan pakej badal haji secara meluas,sama ada di surau dan masjid atau di media sosial.

Kebanyakan iklan pakej badal haji ditawarkan dengan harga tidak munasabah dan lebih rendah daripada kos pakej haji yang ditetapkan Kerajaan Arab Saudi kepada penduduk tempatan.

“Kerajaan Arab Saudi telah menetapkan setiap individu dari luar negara perlu mendapatkan visa haji untuk melaksanakan ibadat haji,manakala penduduk tempatan pula diwajibkan untuk memiliki permit kebenaran daripada pihak berkuasa Arab Saudi. Bukan semua penduduk tempatan yang memohon berjaya mendapat permit haji.

“Harga terendah yang ditetapkan untuk pakej haji bagi tahun 1446H yang lepas bagi penduduk tempatan bermula sekitar SR10,000 (RM11,300) yang merangkumi permit kebenaran serta khemah di Masyair tetapi tidak termasuk kos lain yang perlu ditanggung seperti pengangkutan udara atau darat,penginapan,makanan di Makkah serta Madinah dan sebagainya," katanya dalam kenyataan.

Selain itu,terdapat juga unsur penipuan dengan nisbah antara jumlah pelaksana dengan jumlah peserta badal haji tidak seimbang malah ada yang mengambil upah badal haji hingga 200 orang untuk seorang pelaksana.

“Ini jelas bertentangan dengan peraturan dan menyalahi syariat seperti yang digariskan dalam Islam," katanya.

Beliau berkata Kerajaan Arab Saudi juga telah melaksanakan penguatkuasaan undang-undang lebih ketat dan sekiranya jemaah haji ditangkap menggunakan visa atau permit tidak sah,mereka akan berdepan hukuman denda,penjara dan disenarai hitam daripada memasuki Arab Saudi untuk tempoh beberapa tahun.

“Justeru,rakyat perlu bijak untuk menilai tawaran perkhidmatan serendah RM1,500 dan tidak mudah mempercayai iklan penyedia perkhidmatan badal haji secara komersial bagi mengelak ditipu,” katanya - BERNAMA

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.