09-11
Pelan Tindakan Nasional mengenai WPS, perkukuh peranan wanita - Nancy
2025-09-08
HaiPress
Foto RTM
KUALA LUMPUR,8 September - Satu Pelan Tindakan Nasional mengenai Wanita,Keamanan dan Keselamatan (WPS) akan diperkenalkan.
Menteri Pembangunan Wanita,Keluarga dan Masyarakat,Datuk Seri Nancy Shukri berkata,ia penting khusus dalam memastikan golongan wanita dilindungi termasuk ketika berlakunya krisis dan bencana.
“Antara tumpuan utama adalah memastikan wanita dan anak perempuan tidak terdedah kepada gangguan seksual atau keganasan.
Kita juga mahu menggalakkan lebih ramai wanita menjadi pemimpin dalam polis,tentera dan komuniti”,katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri di sini,hari ini.
Kementeriannya juga bekerjasama rapat dengan Kementerian Luar Negeri,selain agensi berkaitan termasuk pertahanan,polis dan NGO bagi merangka pelan tersebut.
Ia turut berperanan sebagai rujukan utama semua pihak dalam merangka dasar,latihan dan program berkaitan agenda wanita,keamanan dan keselamatan.
Sementara itu katanya,Malaysia telah menghantar individu wanita ke 39 misi pengaman antarabangsa termasuk di Lubnan,Timor Leste dan Kemboja,sekali gus membuktikan kemampuan kepakaran wanita negara dalam peranan global.
“Kita mahu menunjukkan kepada dunia bahawa wanita Malaysia bukan sahaja berperanan dalam bidang tradisional,tetapi juga dalam bidang teknologi,AI,malah terlibat dalam rundingan keamanan”,katanya.
Mengulas penglibatan beberapa selebriti dan pempengaruh tempatan yang menyertai misi kemanusiaan di negara bergolak,beliau menyifatkan tindakan itu sebagai keberanian yang wajar dihargai walaupun berdepan risiko tinggi.