Negeri Sembilan sedia patuh keputusan KKM, isu larangan vape

2025-09-11     HaiPress

Menteri Besar Negeri Sembilan,Datuk Seri Aminuddin Harun

SEREMBAN,11 September -Kerajaan Negeri Sembilan akan mematuhi sepenuhnya sebarang keputusan yang dibuat Kementerian Kesihatan berhubung isu pengharaman penjualan rokok elektronik atau vape.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata,pelaksanaan undang-undang yang kukuh amat penting bagi memastikan larangan berkenaan benar-benar berkesan.

"Kita mengikut dan kita patuh atas cadangan-cadangan tersebut. Tetapi kita perlukan juga yang saya katakan setiap awal lagi bahawa jika tiada undang-undang yang boleh menghalang,penjualan ini juga penting dan saya berharap bahawa semua boleh dilaksanakan dengan penguatkuasaan. Kita tidak mahu,kita kata haram,tak boleh jual tetapi mereka boleh melakukan jualan secara yang tidak sah di luar sana,"katanya kepada pemberita pada Majlis Konvokesyen Ke-10 Kolej Yayasan Negeri Sembilan,di sini.

Terdahulu media melaporkan Kerajaan Persekutuan akan mengharamkan sepenuhnya penjualan rokok elektronik atau vape sebagai langkah membendung penyalahgunaan produk berkenaan yang akan dilaksanakan secara berperingkat.

Sementara itu,Datuk Seri Aminuddin berkata KYNS terus memperkukuh peranan sebagai pemacu Pendidikan Latihan dan Vokasional (TVET) MADANI di negeri itu.

Ia sekali gus membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam menyediakan peluang pendidikan yang relevan,inklusif dan berpaksikan masa depan cerah untuk anak-anak bangsa.

Katanya,kerajaan negeri terus komited membantu KYNS meningkatkan lagi infrastruktur,pembiayaan pendidikan yang berterusan kepada anak negeri dan kursus baharu yang berimpak tinggi.

"Jadi ini merupakan satu bidang yang dapat memberikan satu penambahbaikan kepada kelebihan terhadap diri anak-anak kita untuk berjaya pada masa akan datang,dan saya berharap juga pihak KYNS untuk mengkaji pengajian-pengajian yang ada menambah baik dan meningkatkan lagi supaya kita setanding dengan TVET yang ada di luar sana," katanya.

Dalam pada itu,menerusi geran padanan kerajaan negeri,sebanyak RM10 juta diperuntuk bagi pembinaan Dewan Utama di Kampus Gentam,Kuala Pilah bagi kemudahan pembelajaran.

Tambahnya,projek berkenaan telah mula dibina pada awal tahun ini dan berharap dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.