Isu penyakit tidak berjangkit, pemantauan warga asing antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

2025-10-27     HaiPress

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR,27 Oktober - Isu penyakit tidak berjangkit (NCD) dan pemantauan terhadap warga asing yang telah diberikan visa jangka panjang,antara tumpuan mesyuarat Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen,Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) bertanyakan kepada Menteri Kesihatan mengenai inisiatif kementerian dalam mengurangkan beban NCD seperti diabetes,hipertensi dan obesiti melalui pendekatan bersepadu merangkumi promosi gaya hidup sihat dan pengukuhan rawatan primer.

Beliau juga ingin tahu berhubung kerjasama rentas kementerian bagi memastikan keberkesanan intervensi kesihatan awam di seluruh negara,pada sesi soal jawab lisan.

Pada sesi sama,Mohd Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) meminta Menteri Dalam Negeri menjelaskan langkah pemantauan dan penguatkuasaan terhadap warga asing yang diberikan visa jangka panjang atau terlibat dalam Program Malaysia My Second Home (MM2H) supaya mematuhi undang-undang negara dan tidak terbabit dalam kegiatan yang menjejaskan keselamatan awam.

Selain itu,Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) bertanyakan Menteri Pelaburan,Perdagangan dan Industri mengenai langkah yang telah dan akan diambil untuk memimpin ASEAN mengurangkan halangan bukan tarif bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berkembang di rantau ini.

Usai sesi soal jawab,mesyuarat Dewan Rakyat diteruskan dengan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan 2026) yang memasuki hari ketujuh,selepas dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 10 Okt.

Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen ke-15 Dewan Rakyat berlangsung selama 35 hari hingga 4 Dis ini.- BERNAMA

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.