10-29
Peranan Malaysia dalam ASEAN, bukti keberkesanan kepimpinan serantau
2025-10-29
HaiPress

Dr. G. Manimaran
KUALA LUMPUR,29 Oktober - Malaysia sekali lagi membuktikan keupayaan dan kredibilitinya sebagai pemimpin serantau apabila memainkan peranan penting dalam menyelesaikan konflik antara Thailand dan Kemboja,selaras dengan prinsip dan matlamat penubuhan ASEAN.
Langkah proaktif itu dilihat signifikan menjelang Malaysia mengambil alih kepengerusian ASEAN pada tahun ini menjadikannya detik bersejarah yang memperkukuh kedudukan negara dalam landskap diplomasi serantau.
Menurut Penganalisis Politik,Dr. G. Manimaran tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pengantara dalam konflik berkenaan menunjukkan kebijaksanaan diplomatik serta komitmen Malaysia terhadap keamanan dan kestabilan rantau Asia Tenggara.
"Malaysia menggunakan kedudukannya dengan bijak untuk membantu menyelesaikan konflik mengikut prinsip ASEAN,yang menekankan keamanan,kestabilan,dan kemakmuran bersama," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menjadi tetamu Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media di sini.
Usaha tersebut sejajar dengan semangat asal penubuhan ASEAN pada tahun 1967 yang menekankan keamanan serantau dan kerjasama ekonomi.
Dalam tempoh singkat,Malaysia berjaya membawa kedua-dua negara terlibat ke meja rundingan,sekali gus menghasilkan pelan damai yang mendapat pujian pelbagai pihak termasuk badan antarabangsa dan komuniti perniagaan.
"Ini membuktikan Malaysia bukan sekadar pemerhati,tetapi negara berkecuali yang berperanan aktif menyumbang kepada keamanan di rantau ini," jelasnya lagi.
Malaysia sebelum ini juga pernah memainkan peranan penting dalam membantu menyelesaikan konflik di Aceh,Mindanao dan Selatan Thailand,sekali gus memperkukuh reputasinya sebagai perantara yang dipercayai di peringkat ASEAN.
Selain itu,Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 bawah kepengerusian Malaysia dijangka membuka lebih banyak peluang ekonomi dan diplomatik,termasuk memperkukuh penglibatan aktif negara-negara luar seperti Afrika Selatan,Amerika Latin,China,Jepun,Korea dan India.
Dalam perkembangan berkaitan,kehadiran pemimpin antarabangsa,termasuk dari Amerika Syarikat,ke Malaysia turut memperlihatkan penghormatan terhadap peranan negara dalam arena global.
Keyakinan itu wajar dimanfaatkan untuk memperkukuh dasar luar Malaysia serta meningkatkan peranan negara sebagai pemacu keamanan dan kestabilan di rantau ini.



