10-29
Pelaksanaan MII perkukuh ekosistem inovasi negara
2025-10-29
HaiPress

FOTO RTM
KUALA LUMPUR,29 Oktober - Pelaksanaan Indeks Inovasi Malaysia (MII) yang bakal dilancarkan pada November ini akan menjadi mekanisma penting dalam memperkukuh ekosistem inovasi negara.
Inisiatif itu akan digunakan bagi menilai,membanding dan mempertingkatkan keupayaan inovasi di peringkat negeri secara menyeluruh dan inklusif.
Menurut Timbalan Menteri Sains,Teknologi dan Inovasi (MOSTI),Datuk Dr. Mohammad Yusof Apdal,kerajaan akan menggalakkan setiap negeri merangka strategi inovasi masing-masing dengan mengambil kira kekuatan,kelemahan serta peluang sedia ada.
"Strategi tersebut perlu disasarkan dan diselaraskan dengan matlamat pembangunan negara agar lebih holistik dan bersepadu.
"MII akan turut digunakan sebagai mekanisme penanda aras untuk membandingkan ekosistem inovasi antara negeri,menilai keberkesanan dasar serta menarik pelaburan baharu.
"Fokus diberikan kepada pembangunan pendidikan,kesediaan tenaga kerja serta pembinaan bakat dalam bidang TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) dan juga STEM (Sains,Teknologi,Kejuruteraan,dan Matematik)," katanya.
Penyataan bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Sungai Siput,Kesavan Subramaniam di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Katanya lagi,sesi libat urus bersama kerajaan negeri juga akan diteruskan bagi menerangkan profil ekosistem inovasi setiap negeri dan mengenal pasti bentuk intervensi yang bersesuaian untuk dilaksanakan.
Melalui kerjasama ini,MOSTI akan membantu negeri-negeri dalam proses pelaksanaan serta pemantauan keberkesanan strategi inovasi masing-masing.
Laporan MII akan diterbitkan secara dwitahunan bagi menilai perubahan dan kemajuan yang dicapai oleh setiap negeri daripada semasa ke semasa.



