10-29
JBPM Terengganu fokus 460 kawasan berisiko banjir sempena Monsun Timur Laut
2025-10-29
HaiPress

Foto fail
HULU TERENGGANU,29 Oktober -Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu akan menumpukan terhadap 460 kawasan berisiko banjir di seluruh negeri itu pada Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini.
Selain itu,pihak JBPM juga memberi fokus kepada 43 lokasi berisiko banjir pasang dan 22 kepala air.
Penolong Pengarah Operasi JBPM Terengganu Penguasa Kanan Bomba 2,Muhammad Basri Kamarazaman berkata,selain penugasan berkaitan banjir pihaknya juga kini sedang bekerjasama rapat dengan Jabatan Mineral dan Geosains mengenal pasti lokasi yang sering berlakunya tanah runtuh.
Langkah itu penting bagi memastikan kesiapsiagaan 1,083 pegawai dan anggota berada pada tahap terbaik untuk menangani sebarang kejadian.
"Sebelum ini terdapat kes tanah runtuh di Ajil. Sekarang kita cuba kenal pasti hotspot tanah runtuh di Terengganu untuk kita siap siaga kawasan tersebut untuk hadapi kemungkinan tanah runtuh. Setakat ini kawasan yang berhampiran dengan penempatan itu yang kita ambil cakna untuk kita memastikan pertama sekali kesedaran pihak awam.
"Contohnya jika rumah mereka berada berhampiran dengan lereng bukit,mereka perlu peka sekiranya berlakunya hujan berterusan dan terdapat manamana aliran air yang kawasan lereng rumah berhampiran terdapat pergerakan tanah dan sebagainya,mereka perlu cakna dan terus lapor pada pihak berkuasa lah," katanya kepada media di,sini.
JBPM Terengganu akan menggerakkan 43 aset marin termasuk bot jenis HDPE dan 34 aset darat sepanjang MTL kali ini.
Berdasarkan ramalan dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia),Terengganu dijangka dilanda banjir pada pertengahan atau akhir November ini dengan lima hingga tujuh luruan monsun berlaku.



